Persediaan
Persediaan Awal Sebelum Tarikh Berlepas
1. Rawatan Gigi
Lakukan rawatan gigi secara lengkap terlebih dahulu di Malaysia. Kos rawatan pergigian di sini adalah tinggi sama ada untuk mencabut, menampal dan sebagainya. Kos untuk menampal gigi sahaja adalah boleh mencecah ratusan dollar Australia.
2. Cermin Mata
Bagi yang berkaca mata, digalakkan membawa lebih dari satu pasang cermin mata. Kos untuk membuat sepasang cermin mata di sini adalah sangat mahal. Digalakkan juga membawa kaca mata hitam (sunglasess) kerana pancaran matahari di sini agak terik dan menyilaukan akibat kekurangan awan.
3. Kad ATM Maybank
Pengeluaran wang menggunakan kad ATM Maybank boleh dibuat di sini. Walau bagaimanapun, sila pastikan anda membuat perkara-perkara berikut di Malaysia terlebih dahulu. (Nota: bagi bank-bank selain Maybank, sila semak dengan bank anda sendiri) :
- Mengaktifkan pilihan yang membolehkan anda membuat pengeluaran di luar negara. Opsyen yang dipilih perlulah secara tetap (permanent mode).
- Had pengeluaran sehari perlulah dimaksimumkan (RM3000). Ini adalah bagi mengurangkan kos transaksi (transaction charge) yang di kenakan bagi setiap kali pengeluaran yang dibuat di luar Malaysia.
- Maklumkan pemergian anda kepada pihak bank. Ini adalah bagi mengelakkan kemungkinan kad anda disekat ketika menggunakannya di luar negara kelak.
4. Perbankan Internet (Internet Banking)
Pastikan anda melanggani kemudahan perbankan Internet bagi memudahkan anda membuat pembayaran bil-bil atau pemindahan dana (fund transfer) ke akaun lain di Malaysia.
Kami mengesyorkan agar anda membawa nombor telefon yang digunakan untuk penerimaan Transaction Authorization Code (TAC). Hal demikian adalah kerana beberapa perkhidmatan perbankan Internet memerlukan anda memasukkan TAC seperti pemindahan dana dan menambahan akaun ke dalam 3rd party favourite list.
Secara alternatif, anda boleh memasukkan nombor akaun yang berkaitan ke dalam 3rd party favourite list’ terlebih dahulu di Malaysia bagi menyenangkan anda membuat pemindahan dana secara berkala melalui perbankan Internet (contohnya untuk ibubapa, pembayaran pinjaman dan sebagainya).
Sila layari laman web bank anda untuk maklumat lanjut tentang TAC.
5. Surat dari Penaja.
Sekiranya anda mempunyai anak-anak yang akan bersekolah di Brisbane, surat dari penaja anda mestilah mengandungi kenyataan yang meyatakan anda “ditaja oleh kerajaan Malaysia” (sponsored by the Government of Malaysia). Ini adalah bagi mengelakkan anda dari perlu membayar kos yuran persekolahan anak anda di sini (yang boleh mencecah 4,000 dollar setahun bagi setiap anak yang bersekolah di peringkat rendah). Sila pastikan Certificate of Enrollment (COE) anak-anak anda menunjukkan tiada bayaran yang perlu dibuat.
6. Hal-hal Penting Lain
Bagi yang pertama kali melakukan perjalanan ke luar negara anda disarankan meletakkan semua dokumen perjalanan (pasport, tiket kapal terbang, boarding pass dsb.) di tempat yang selamat dan mudah di ambil bila diperlukan seperti dalam pouch beg atau dalam poket beg sandang. Ini bagi memudahkan segala urusan di kaunter-kaunter tertentu semasa di lapangan terbang.
Sila satukan semua dokumen-dokumen penting selain daripada yang diperlukan untuk tujuan penerbangan di dalam satu clear folder. Dokumen-dokumen ini termasuklah surat tawaran universiti, COE, surat jaminan kewangan serta dokumen-dokumen lain bersangkutan dengan akademik anda dan juga keluarga anda. Sila bawa clear folder ini bersama-sama anda sebagai hand carry di kala penerbangan.
Tukarlah semua duit Ringgit Malaysia kepada Dollar Australia sewaktu anda berada di Malaysia.
Bakal pelajar tidak digalakan untuk membawa buku-buku teks ataupun bahan-bahan rujukan kajian anda MELAINKAN kandungannya khusus kepada negara Malaysia ataupun teks tersebut amat penting dalam bidang anda. Ini memandangkan kebanyakan universiti di sini kaya dengan sumber rujukan.
PASTIKAN anda tidak membawa makanan mentah ke Australia. Tetapi makanan kering atau makanan proses kilang seperti serbuk rempah-ratus, kari, keropok, kuih/biskut dan lain-lain adalah dibenarkan untuk dibawa masuk. Sila rujuk laman web Australian Quarantine and Inspection Service untuk maklumat terkini tentang barang-barang yang tidak boleh dibawa masuk ke Australia.
PASTIKAN (sekiranya ada membawa makanan) borang masuk diisi dengan betul. Sekiranya tidak pasti TANYA pada pegawai yang ada dilapangan terbang. Jika membawa makanan, sila masuk ke laluan membawa makanan selepas mengambil bagasi anda. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan anda didenda.
BERSIKAP jujur bila berjumpa dengan pegawai-pegawai Australia di lapangan terbang. Jangan cuba sembunyikan sesuatu kerana mereka dilatih untuk mengesan sesuatu yang mencurigai. Jawab jika perlu sahaja.
