Kelengkapan
Barang Kelengkapan yang Perlu Dibawa
(sebagai panduan sahaja)
Walaupun sebahagian dari kelengkapan-kelengkapan boleh didapati di sini, senarai yang di bawah adalah bagi mengurangkan kos permulaan (start-up cost) anda bagi memulakan kehidupan di Brisbane. Kos barangan di sini lebih mahal berbanding dengan harga yang boleh didapati di Malaysia, akibat kadar pertukaran Ringgit Malaysia ke Dollar Australia. Oleh itu, bawalah sekadar yang anda mampu.
Anda dinasihatkan supaya menimbang muatan barang-barang yang akan dibawa terlebih dahulu. Salah satu cara yang mudah ialah dengan menggunakan alat penimbang badan (bathroom scale) untuk menentukan berat yang akan dibawa. Anda perlulah memastikan berat barangan yang dibawa mengikut kadar yang dibenarkan oleh MAS. Anda juga dinasihatkan supaya 'check-in' awal di lapangan terbang pada hari penerbangan. Ini adalah bagi mengelakkan situasi di mana lebihan muatan anda tidak diterima oleh pihak MAS akibat muatan keseluruhan kapalterbang sudah mencapai had maksimum. Maklumkan kepada pihak MAS yang anda akan menuntut di Australia untuk mendapatkan sedikit kelonggaran membawa lebih muatan tanpa bayaran denda.
Perlu dinyatakan bahawa terdapat juga barangan terpakai (second hand) yang boleh dibeli di Brisbane. Walau bagaimanapun, jenis barangan terpakai yang dijual adalah terhad dan ia mungkin tidak sesuai dengan citarasa anda.
Berikut adalah kelengkapan yang perlu dibawa:
1. Pakaian
Pakaian di Malaysia sesuai digunakan di Brisbane. Untuk permulaan sila bawa pakaian dalam jumlah yang berpatutan agar anda tidak perlu membelinya di sini. Harga pakaian akan menjadi mahal sekiranya nilaiannya ditukarkan kepada Ringgit Malaysia. Kebiasaannya pelajar akan berpakaian secara kasual untuk ke universiti. Antara pakaian yang digalakkan untuk di bawa termasuklah:
- baju T lengan panjang dan pendek
- baju sejuk (sweater) atau jaket (tidak perlu terlalu tebal)
- jeans/ seluar panjang yang agak tebal
- 1 atau 2 pasang pakaian tradisional
- sepasang pakaian formal
- sehelai baju batik (lengan panjang atau pendek)
* di kala musim sejuk anda boleh memakai baju secara 'layering'.
2. Kasut
Sila bawa kasut yang sesuai dan selesa untuk anda gunakan sepanjang berada di sini. Kasut yang sesuai dan selesa amat penting kerana di kampus anda akan banyak berjalan. Antara yang dicadangkan:
- kasut kulit (yang boleh disesuaikan untuk acara rasmi and tidak rasmi)
- kasut kanvas/ sukan
- sandal
- selipar jepun/ getah (ia amat mahal di sini)
3. Makanan
Walaupun makanan Asia banyak terdapat di sini, terutamanya di Chinatown dan beberapa tempat lain, anda digalakkan membawa makanan dari Malaysia bagi menampung beberapa bulan pertama anda di Brisbane.
Makanan segera yang dijual secara komersial (mempunyai cop dan logo pengilang) boleh dibawa masuk ke Australia. Sekiranya makanan yang anda hendak bawa makanan yang beli di pasar (contohnya ikan bilis atau udang kering) anda perlulah membungkus bahan tersebut sebaik mungkin dan labelkan makanan tersebut berserta ramuan ringkas. Rujuk gambar.
Perlu diingatkan bahawa makanan berunsur daging dan tenusu tidak boleh dibawa masuk ke Australia. Bahan tenusu yang dibenarkan hanyalah yang dikeluarkan oleh Australian and New Zealand dairy board. Oleh itu segala minuman segera berbentuk 3 dalam 1 adalah tidak dibenarkan.
Sekiranya anda ingin membawa rempah ratus. Sila pastikan ianya dalam bentuk serbuk. Rempah ratus dalam bentuk bijian adalah tidak dibenarkan masuk ke Australia (contohnya: bunga lawang, lada hitam, sup bunjut).
Adalah lebih baik sekiranya semua makanan anda ditempatkan secara berasingan daripada barang-barang lain. Anda boleh memasukkan semua makanan tersebut di dalam satu kotak (bagi menjimatkan kos). Dalam masa yang sama adalah amat disarankan agar anda menyediakan senarai lengkap kandungan kotak tersebut. Hal ini akan menjimatkan urusan sewaktu di peringkat kastam.
4. Keperluan Peribadi Lelaki dan Wanita
Sekiranya anda menggunakan pisau cukur sila bawa satu set pisau cukur yang baik daripada Malaysia (disarankan daripada jenis yang boleh tukar mata cukur). Sila bawa juga stok mata cukur secukupnya untuk sepanjang tempoh anda di sini.
Bagi wanita anda digalakkan membawa tuala pelekat wanita (kegunaan sewaktu haid) sebanyak mungkin sebagai stok kegunaan di sini.
Selain itu anda juga disarankan membawa stok berus gigi untuk sepanjang tempoh anda di sini. Barangan ini ringan dan boleh diselitkan di poket-poket beg anda.
5. Losyen Badan/ Pelembap Bibir
Kadar kelembapan (humidity level) di Brisbane adalah jauh lebih rendah berbanding dengan di Malaysia, dengan keadaan angin yang sejuk (melainkan musim panas!) dan mengeringkan kulit. Bagi kulit yang sensitif, ianya boleh menggelupas serta luka akibat terlalu kering. Oleh yang demikian, sila bawa bekalan losyen muka serta badan untuk mengurangkan kesan cuaca yang sejuk dan kering disini. Anda perlu juga bersedia dengan pelembap bibir (lip gloss). Sekiranya anda sampai di kala musim panas anda disarankan membawa losyen badan yang mempunyai SPF 30+. Barangan ini tidak perlu dibawa dalam kuantiti yang banyak, hanya sekadar untuk keperluan awal.
6. Ubatan
Jika perlu, sila bawa Vitamin C untuk anak-anak kecil. Ini adalah kerana pertukaran cuaca yang mengejut boleh menyebabkan mereka mudah mendapat selsema, demam atau batuk. Bawalah ubatan lain yang dirasakan perlu, tetapi ianya hendaklah mematuhi peraturan imigresen Australia.
Kepada anda yang mempunyai anak kecil dan biasa menggunakan ubat 'masuk ikut punggung', bawalah bersama bekalan 'Panadol Suppository atau Voltaren Suppository - ubat yang masuk ikut punggung'. Ubat untuk demam panas tersebut tidak dijual di Australia.
Sekiranya anda mempunyai doktor panel, anda digalakkan meminta preskripsi bagi ubat-ubatan perlu daripada doktor anda. Sila masukkan ubat-ubatan ini dalam satu uncang plastik berserta label untuk ubat-ubatan tadi.
Harga multi-vitamin di sini mahal. Oleh itu sila bawa daripada Malaysia sekiranya perlu.
7. Buku-buku Sekolah Anak
Digalakkan membawa buku teks sekolah anak-anak anda bagi tempoh ketiadaan mereka di Malaysia. Ini adalah bagi mengelakkan mereka dari ketinggalan dalam pelajaran sekembalinya mereka ke Malaysia kelak. Anda juga disarankan membawa buku Iqra' ataupun muqaddam untuk anak-anak anda. Guru mereka adalah anda sendiri!
8. Peralatan Elektrik
Kadar voltan di Australia adalah sama dengan kadar di Malaysia. Walau bagaimanapun, soket yang digunakan adalah berbeza dan harga setiap satu soket di sini adalah sekitar 4-10 dollar. Oleh yang demikian, seelok-eloknya, bawalah papan 'extension wire' (kebiasaannya berwarna putih) yang boleh memuatkan 3 ke 5 soket sekali gus dari Malaysia bagi membolehkan anda menggunakan peralatan elektrik tanpa perlu menukar soket setiap barangan elektrik yang anda bawa. Anda hanya perlu menukar kepada soket 'extention wire' sahaja. Sebagai langkah berjaga-jaga anda disarankan membawa 2 set 'extention wire' ke sini.
Antara perkakas elektrik yang di cadangkan untuk anda bawa daripada Malaysia termasuklah periuk nasi elektrik dan juga blender (kegunaan basah dan kering). Blender yang dijual di sini tidak mempunyai pek dwi kegunaan (basah dan kering) seperti yang terdapat di Malaysia.
Perlu diingatkan bahawa kebanyakkan rumah sewa di sini menyediakan dapur elektrik untuk memasak. Oleh yang demikian, sekiranya anda berhajat untuk membawa sedikit peralatan memasak ia perlulah mempunyai dasar yang leper (bukan melengkung seperti berbentuk kuali dan sebagainya) bagi menyesuaikannya dengan jenis dapur yang digunakan di sini.
Secara umumnya, harga elektrik lebih murah di Malaysia jika dibandingkan di sini.
9. Alat tulis.
Alatan tulis seperti pen, pensel dan sebagainya adalah kecil dan boleh diselitkan dicelah barangan lain. Bawalah sebanyak mungkin.
'Material' kegunaan sekolah/college (i.e. drawing board etc) adalah lebih baik dibawa dari Malaysia.
10. CD Kegemaran
Bawalah CD/VCD/DVD/MP3 kegemaran anda dan anak-anak ke sini sebagai hiburan ketika kebosanan ataupun menghilangkan rasa 'homesickness'. Tidak ada sekatan yang kami ketahui setakat ini untuk membawa CD/VCD/DVD/MP3 ataupun perisian (software) masuk ke Australia.
11. Telefon bimbit (Handphone)
Telefon bimbit anda boleh digunakan di Australia. Justeru sila bawa telefon bimbit dan beli 'sim card' baru di sini.
12. Barangan Komputer
Secara amnya semua harga barangan komputer di sini adalah mahal berbanding di Malaysia. Walau bagaimanapun, sebahagiannya boleh di dapati dengan harga yang agak murah melalui eBay Australia.
Sekiranya anda bercadang membawa notebook atau laptop bagi tujuan kegunaan anda di sini, sekiranya mampu, belilah yang mempunyai CD writer atau lebih baik CD dan DVD writer. Ini adalah bagi memudahkan anda membuat backup atau menghantar tugasan (assignment) anda nanti. Tambahan pula, sekiranya anda khuatir membawa perisian komputer masuk ke Australia, anda boleh menyalin (copy - bukan install) kandungan CD tersebut ke dalam hardisk notebook/ laptop anda dan membuat salinan ke CD ketika anda di sini. Dengan cara ini, anda boleh membuat re-installation perisian-perisian yang anda guna sekiranya komputer anda mengalami masalah kelak.
USB flash drive (seperti thumb drive/ pen drive) sangat berguna bagi memindahkan fail-fail besar dari satu komputer ke komputer yang lain. Oleh itu kami mengesyorkan supaya membawanya dari Malaysia. Sekiranya mampu, belilah USB powered hardisk untuk kegunaan di sini.
Belilah tetikus (optical mouse) yang agak berjenama bagi menjamin ketahanannya ketika anda berada di sini.
Bawalah peralatan video conferencing (kamera web dan mikrofon) sekiranya anda bercadang berkomunikasi dengan keluarga dan sahabat di Malaysia melalui cara ini kelak.
13. Kamera digital/ Camcoder
Australia adalah sebuah negara yang indah serta mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati. Oleh itu, pastikan anda mempunyai sebuah kamera digital atau/ dan camcoder yang berkualiti untuk merakam kesemuanya. Sekiranya anda mempunyai CD writer di dalam komputer anda, gambar-gambar anda boleh dihantar kepada keluarga yang jauh di mata di dalam CD tanpa belanja pos yang besar. Walau bagaimanapun, pastikan yang tidak ada masalah ketidaksesuaian (incompatibility) di antara barangan elektronik yang anda bawa (seperti masalah storage card di antara PDA, kamera digital, komputer, dan sebagainya). Ini bagi memudahkan anda memindahkan fail-fail anda di antara peralatan-peralatan elektronik tersebut.
