Perumahan
Nota Penting
Disebabkan prosedur untuk mencari rumah sewa adalah sukar pada masa kini, anda (bakal pelajar baru) dinasihatkan agar datang berseorangan dahulu ke Brisbane. Anda tidak semestinya mendapat rumah dalam tempoh masa yang singkat. Berkemungkinan 2 - 3 minggu ataupun lebih. Setelah mendapat rumah sewa barulah ahli keluarga anda boleh datang. Ini adalah untuk mengelakkan anda terpaksa menumpang di rumah sahabat-sahabat baru anda ataupun di hotel terlalu lama. Lebih sukar lagi bagi mereka yang datang dengan anak kecil.
Anda juga mesti membawa bersama slip-slip gaji atau salinan penyata akaun bank (bank statement) anda dari Malaysia untuk membuktikan anda mempunyai kewangan yang kukuh untuk menyewa rumah di sini.
Anda juga dinasihatkan agar tidak datang dalam bulan November, Disember dan Januari. Ini adalah kerana pada waktu ini universiti ditutup untuk menyambut perayaan Krismas dan Tahun Baru dan berkemungkinan bakal supervisor anda juga akan bercuti panjang.
1. Perumahan
Kebanyakan pelajar tinggal di rumah sewa. Selain dari itu, ada juga pelajar tinggal di asrama. Jika anda mampu, anda boleh membeli rumah sendiri dan menjualnya setelah tamat pengajian.
2. Mencari Rumah Sewa
Perlu diingatkan bahawa anda tidak boleh menempah untuk menyewa sesebuah rumah di sini dari Malaysia. Ini adalah kerana agen hartanah atau tuan punya rumah di sini memerlukan anda hadir untuk memberi butiran anda di dalam borang permohonan.
Senarai rumah sewa boleh di dapatkan dari agen hartanah atau iklan disuratkhabar. Anda perlu mengaturkan temujanji untuk melihat dan memeriksa rumah sebelum membuat keputusan untuk menyewa sesebuah rumah. Bayaran sewa rumah dikira secara mingguan. Untuk menyewa rumah, lazimnya anda diminta membayar "bond" (refundable deposit) selama 4 minggu dan bayaran sewa rumah selama 2 minggu. Justeru wang diperingkat permulaan perlu cukup untuk membayar pendahuluan keseluruhan untuk 6 minggu. Kebiasaanya pihak agen perumahan hanya mahu berurusan secara tunai. Justeru pastikan anda membawa tunai secukupnya sewaktu menguruskan soal perumahan. Anda juga akan diminta memberi 2 nama kenalan sebagai rujukan. Jika anda menghadapi kesukaran mendapatkan rujukan, hubungi International Student Service Office untuk nasihat dan bantuan.
Anda juga biasanya diminta menandatangi kontrak menyewa rumah antara 6 bulan hingga 1 tahun. Denda akan dikenakan jika anda "keluar rumah" sebelum tamat tempoh kontrak.
Bagi mendapatkan gambaran awal berkenaan dengan situasi perumahan di sini anda digalakkan untuk melayari laman web Agen Hartanah Online seperti yang tertera di bawah;
- Real Estate
- Rental Hotline
- Trading Post
- Seqrent
- Drakos Real Estate
- PRD
- L. J. Hooker
- Professionals
- REmax
Sebagai penyewa di Queensland anda dilindungi dan harus mematuhi peraturan seperti yang terkandung di link berikut: Queensland Queensland Residential Tenancies Authority (RTA).
3. Kadar Sewa
Kadar sewa rumah yang dikenakan adalah mengikut kadar mingguan dan bukannya bulanan seperti di Malaysia. Pada kebiasaannya, bayaran sewa dibuat dua minggu sekali (fortnightly). Memandangkan elaun yang kita terima daripada penaja di Malaysia kebiasaannya dalam bentuk berkala (3 bulan sekali). Anda mempunyai pilihan untuk melunaskan kadar sewa untuk beberapa minggu in advance agar peruntukan perumahan anda tidak terguna pakai bagi urusan lain.
Kadar sewa kediaman yang anda hendak duduki bergantung kepada beberapa faktor termasuk jenis kediaman (house, flat, unit dsb), kuantiti bilik tidur (1, 2 atau lebih), keadaan isi rumah (unfurnished, partly furnished atau fully furnished) dan lokasi (kebiasaannya suburb berdekatan dengan universiti akan lebih mahal kadarnya)
4. Kawasan-kawasan Pilihan
Kawasan yang sesuai diduduki bergantung kepada pilihan anda sama ada lokasi berdekatan dengan Universiti atau berdekatan dengan sekolah anak-anak dan sebagainya. Sememangnya anda perlu melihat dan menilai sendiri kelebihan serta kekurangan untuk tinggal di satu-satu lokasi, dan pemilihan perlu dibuat berdasarkan faktor-faktor yang boleh memberi kesan serta kesenangan kepada anda serta keluarga anda.
Satu kriteria dalam memilih lokasi kediaman anda adalah sebaik-baiknya ia berdekatan dengan sumber pengangkutan awam (bus, feri atau keretapi). Ini memandangkan kebiasaannya para pelajar akan ke universiti menaiki pengangkutan awam disebabkan kadar bayaran parking yang sangat mahal di kampus. Sistem pengangkutan awam di sini agak baik dan ketiga-tiga sistem pengangkutan yang disebutkan tadi mempunyai sistem yang berhubungan (integrated) antara satu sama lain. Ini bermakna tiket yang sama boleh digunakan bagi ketiga-tiga jenis pengangkutan ini.
5. Prosedur Menyewa Rumah
- Isi borang permohonan (application form). Sila lihat syarat-syarat di bawah. Permohonan ini biasanya mengambil masa 1-2 hari untuk diproses.
- Sekiranya permohonan anda berjaya. Anda perlu mengisi borang lease. Lease adalah sewa hartanah dalam jangkamasa tertentu. Anda perlu membayar:
a) Cagaran sewa (rental bond) sebanyak 4 minggu sewa rumah. Bond ini akan disimpan oleh pihak berkuasa. Ia akan dipulangkan kepada anda setelah anda keluar dari rumah sewaan. Sekiranya anda didapati melakukan kerosakan pada rumah/unit tersebut sebahagian/keseluruhan wang itu akan diambil untuk memperbaiki kerosakan itu.
b) Membayar sewa 2 minggu pertama. - Anda akan diberi kunci rumah dan borang pemeriksaan kecacatan rumah. Adalah amat penting anda memeriksa rumah tersebut dan mencatat sebarang kerosakan yang sediada semasa anda memasuki rumah. Catatkan apa-apa saja yang dianggap tidak kena walaupun nampak kecil dan insignificant. Jika anda mempunyai kamera digital anda bolehlah merakamkan keadaan asal kediaman anda berserta segala kecacatan yang anda telah kenalpasti sebagai bahan bukti simpanan. Borang ini akan di countersign oleh ejen rumah.
Syarat-syarat menyewa rumah
- Mempunyai bukti sumber kewangan yang cukup. Sama ada:
a) Mengemukakan salinan bank statement
b) Sekiranya anda pelajar tajaan, kemukakan surat penaja yang menyatakan jumlah tajaan sepanjang pengajian.
c) Sekiranya anda bekerja, kemukakan salinan gaji. Bagi pelajar tajaan juga anda digalakan untuk membawa bersama slip gaji memandangkan kadar sewaan kediaman di sini semakin meningkat. - Mempunyai referee (biasanya dua orang) yang mengenali anda. Biasanya rakan-rakan yang sudah tinggal lama di Brisbane atau International Student Advisor. Isikan nama penuh, alamat dan telefon referee tersebut.
*Tips tambahan: sekiranya anda berhajat untuk menyewa rumah di St.Lucia anda disarankan agar tidak berurusan dengan agen hartanah ELITE (satu-satunya agen hartanah yang mempunyai pejabat di St.Lucia) dan tuan rumah bernama Janet (mungkin adakalanya menggunakan nama lain). Rumah beliau di Ryan St. berdekatan dengan gereja Methodist dan sasarannya adalah pelajar bujang. Ini kerana kedua-duanya telah disenarai hitam oleh pihak accommodation UQ.
